Wednesday, 17 September 2008

Usaha-usaha Kerajaan di dalam Meningkatkan Integriti di kalangan Para Penjawat Awam di Malaysia

ABSTRAK


Kajian ini membincangkan tentang usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaaan di dalam meningkatkan penghayatan nilai-nilai integriti di kalangan para penjawat awam di Malaysia, di lihat daripada aspek perlaksanaan sistem pengendalian pengaduan awam dan pengenalan Dasar Bersih, Cekap dan Amanah (1982) sahaja. Ke arah meningkatkan keberkesanan sistem pengendalian pengaduan awam, dan menjayakan matlamat perlaksanaan Dasar Bersih, Cekap dan Amanah, banyak usaha dan program penambahbaikan yang telah dilaksanakan ke arah merealisasikan hasrat untuk melahirkan seorang penjawat awam yang berintegriti di dalam melaksanakan segala tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Sememangnya, usaha-usaha ini mampu dan berperanan di dalam melahirkan seorang penjawat awam yang berintegriti, namun daripada aspek keberkesanan perlaksanaannya, ianya tidak dapat dipastikan, kerana ia tidak termasuk di dalam ruang lingkup perbincangan ini. Ia juga dapat menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Kerajaan tidak serius di dalam menjalankan usaha-usaha meningkatkan integriti di kalangan para penjawat awam di Malaysia (dilihat daripada aspek adanya usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan)

NOOR AZAREF BIN NAIM
No. 18 Jalan Laksamana 7
Bandar Tenggara
81000 Kulai
Johor Darul Takzim

25 September 2004
10 Syaaban 1425 H

PERANCANGAN STRATEGIK : TEORI DAN AMALAN DI PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN

Abstrak

Latihan ilmiah ini cuba mengkajiteori dan amalan perancangan strategik di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah. Organisasi ini merupakan salah satu daripada organisasi awam yang terdapat di negeri Kedah. Kedudukan ini menjadikannya satu kelebihan untuk dipilih sebagai lokasi rujukan. Pengamalan perancangan strategik ini dikaji dengan menggunakan beberapa kaedah. Antara kaedah tersebut ialah berdasarkan laporan unit, laporan praktikum, temubual dan banyak lagi. Kajian ini berobjektifkan untuk memahami konsep perancangan strategik secara teori daripada buku-buku dan bahan-bahan rujukan yang berkaitan di samping meninjau amalan perancangan strategik di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan menganalisa teori dan amalannya. Selain itu objektif kajian ini juga ingin meneliti sejauhmana perancangan strategik yang dibentuk oleh syarikat dapat menjadi pemangkin ke arah pencapaian objektif yang telah digariskan. Hasil kajian yang dijalankan, penulis mendapati PSUK telah mengamalkan perancangan strategik dalam amalan perancangannya. Antara amalan perancangannya yang menunjukkan pengamalan perancangan strategik ialah penetapan misi, visi, matlamat, perancangan program, kelulusan dan banyak lagi.

Wan Sobiha Bt Wan Sulaiman
JABATAN SIASAH SYARI’YYAH
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA
KUALA LUMPUR
2004/2005

28 Februari 2005
19 Muharram 1426

KONSEP KETAATAN DAN HUBUNGANNYA

Abstrak

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengetahui konsep ketaatan dan juga memahami sejauhmanakah wujudnya hubungan di antara ketaatan dengan budaya politik yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat. Ketaatan merupakan persoalan utama dalam menjamin keutuhan dan kestabilan sesebuah institusi kepimpinan. Ketaatan tidak bererti pasif iaitu mengikut dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan tanpa memikirkan tentang akibatnya sesuatu tindakan itu, tetapi ianya merupakan satu perlakuan aktif masyarakat terutamanya dalam membentuk satu budaya politik yang bertepatan dengan syarak. Namun, aktif disini mestilah dalam bentuk yang positif kerana aktif dalam bentuk yang negatif boleh membawa kepada pengkhianatan dan kehancuran. Islam menggalakkan umatnya supaya berbudaya dalam politik tetapi perlaksanaan itu hendaklah tidak terkeluar daripada batasan ketaatan. Oleh itu, untuk melihat aspek-aspek ketaatan dan budaya politik dengan lebih mendalam maka penulis telah menggunakan kajian perpustakaan dengan melihat data-data melalui buku-buku rujukan. Untuk menguatkan lagi data-data yang ada penulis juga telah mengkaji nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah yang berkaitan dengannya. Jelas di sini bahawa dalam sistem politik Islam ketaatan mempunyai hubungan yang erat dengan budaya politik. Masyarakat Islam tidak dilarang untuk mengamalkan budaya politik tetapi pengamalan itu hendaklah selaras dengan ajaran Islam dan tidak menyeleweng daripada batasan yang sebenar.

Khatijah binti Ibrahim (IEH030004)
JABATAN SIASAH SYARIYYAH
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA
KUALA LUMPUR
2005/2006

ISU NILAI DALAM HAK ASASI MANUSIA

Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji nilai-nilai yang terdapat dalam hak asasi manusia. Ekoran daripada pengisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia (DUHAM) pada tahun 1948, satu nilai yang sepunya telah lahir sebagai rujukan bagi seluruh manusia dalam mengamalkan hak asasi manusia. Nilai tersebut dikenali sebagai nilai universalisme. Ia dipraktikkan secara sejagat dan sama di semua tempat tanpa mengambil kira faktor geografi, budaya, kepercayaan dan nilai yang terdapat di sesebuah negara. Hal tersebut mengundang pelbagai permasalahan di pihak yang mahukan nilai relatif seperti faktor budaya, geografi, nilai dan kepercayaan sesuatu negara dijadikan sebagai kayu ukur dalam mengamalkan hak asasi manusia. Justeru, berlakulah pertembungan dan perdebatan yang hebat di antara kedua-dua nilai tersebut. Oleh yang demikian, untuk mengetahui sejauhmana pertembungan tersebut boleh berlaku, maka kajian induktif menerusi metod penyelidikan perpustakaan telah digunakan bagi mengkaji dan menilai setiap permasalahan yang berlaku. Selain itu, analisis perbandingan antara kedua-dua nilai tersebut turut dilakukan dengan menjadikan Nilai Asia sebagai satu subjek perbandingan dengan nilai Barat. Maka, daripada hasil kajian induktif ini, didapati pertembungan yang berlaku adalah berpunca daripada faktor budaya yang berbeza di antara Barat dan juga negara lain seperti Asia. Justeru faktor-faktor tersebut tidak boleh diabaikan sama sekali dalam pengamalan hak asasi manusia di sesebuah negara. Ia perlu diwacanakan secara relatif iaitu dengan mengambil kira faktor budaya tersebut. Walaupun begitu, hal ini tidaklah bermaksud nilai universal ditolak secara mentah-mentah, ianya akan terus diterima pakai sekiranya nilai tersebut masih lagi menjamin dan melindungi hak asasi manusia daripada sebarang pencabulan. Walaubagaimanapun, pertembungan di antara kedua-dua nilai ini masih lagi berterusan sehingga kini.

Razlini Bte Mohd Ramli (IEH 030016)
Jabatan Siasah Syar’iyyah,
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya,
Kuala Lumpur
17 Mac 2006/ 17 Safar 1427

Tuesday, 9 September 2008

Hak Kebebasan Beragama di Malaysia: Dari Perspektif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

ABSTRAK




Isu hak kebebasan beragama merupakan satu isu sensitif di Malaysia. Pelbagai interpretasi yang diberikan mengenai isu ini yang mewakili pelbagai pihak dan badan-badan tertentu. Justeru kajian ini dibuat bagi melihat konsep hak kebebasan beragama di Malaysia dan penafsirannya di negara ini. Kajian ini juga mengambil satu contoh pandangan daripada badan bukan kerajaan iaitu SUARAM mengenai hal yang sama sebagai perbandingan. Jelas wujud perbezaan antara keduanya apabila ia difahami daripada dua sumber yang berbeza. Pertembungan antara nilaian antarabangsa dan tempatan pastilah mendatangkan perbezaan. Hak kebebasan beragama di Malaysia ditafsirkan melalui peruntukan Perlembagaan yang mengambil kira sejarah dan latarbelakang kepada pembentukkannya. Manakala penilaian antarabangsa melalui Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia 1948 dan falsafah barat jelas bercanggah dengan interpretasi yang ada di negara ini.






NOR `AZIAH BINTI TALIBIN
JABATAN SIASAH SYA`IYYAH
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA
Sesi 2006/2007